Tuesday, December 15, 2009

pemikiran politik islam

Pemikiran Politik Islam

Politik sering dianggap sebagai sesuatu yang kotor oleh masyarakat kita pada hari ini kerana mencampur-adukkan antara yang hak dan yang batil. Sebenarnya, politik adalah sesuatu yang amat diperlukan dalam membina Negara dan khalifah islam. Tanpa politik, islam tidak akan berkembang. Namun, ahli-ahli politik zaman sekarang yang hanya pandai berpidato tanpa merujuk kepada al-quran dan as-sunnah telah mencemarkan nama baik politik itu sendiri. Mereka menggunakan politik sebagai medan untuk mengaut keuntungan sebanyak yang mungkin dan mendapatkan projek berbilion-bilion ringgit. Islam amat melarang umatnya menggunakan politik untuk kepentingan diri sendiri tetapi politik yang sebenar adalah bertujuan untuk memakmurkan sesebuah Negara.

Politik adalah pengelolaan masalah-masalah umum bagi Negara Islam yang menjamin bagi wujudnya kemuslihatan dan terhindar dari kemelaratan dengan tidak melanggar ketentuan syariah yang umum menurut seorang ulama Islam terkenal iaitu Abdul Wahab Khallaf. Aristotle dan Plato, mendefinisikan politik sebagai pengkajian tentang pemerintahan ataupun tinjauan tentang kegiatan yang yang melibatkan semua perkara yang berhubungan dengan pemerintahan , iaitu; bentuk,struktur, fungsi, dan juga dasar-dasar pemerintahan. Daripada definisi-definisi tersebut, kita dapat simpulkan bahawa terdapat perbezaan yang sangat ketara di antara pemikir barat dan islam. Target dan sasaran politik barat lebih menjurus kepada pencapaian dan kesengan duniawi dan tidak menghiraukan persolan-persoalan ukrawi biarpun sebahagian daripada mereka mengakui adanya hari akhirat. Bagi poitik islam pula, ia menekankan aspek keselamatan bagi kedua-duanya iaitu duniawi dan ukhrawi. Maka, tidak hairanlah jika ahli politik yang beragama islam ada yang makan suap, menipu dan melakukan jenayah kerana pemikiran mereka telah dikaburi olah pemikiran barat.

Pemikiran politik islam adalah sangat berbeza dengan pemikiran politik sekular. Politik islam menekankan bahawa urusan agama hendaklah seiringan dengan urusan pentadbiran negara. Agama dan urusan dunia tidak dapat dipisahkan kerana ianya adalah saling berkaitan dan memerlukan di antara satu-sama lain. Konsep sesebuah negara islam melarang pemisahan antara agama dan urusan pentadbiran negara. Dalam pemikiran politik islam, langit, bumi dan segala isi bumi adalah elemen-elemen politik yang tidak boleh dipisahkan antara satu dengan yang lain. Allah adalah Maha Raja, pembuat dan pemilik hukum yang mutlak. Dia juga sebagai hakim mutlak dan penguasa tunggal di dunia dan akhirat sementara manusia pula sebagai pelaksana dan pelaku kepada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah sepertimana yang telah ditetapkan dalam al-quran. Tidak ada seorangpun yang berhak menciptakan sesuatu hukum, sistem sosial, politik, ekonomi, dan seumpamanya kecuali harus diambil dari kehendak Allah yang tertera di dalam kitab suci Al-quran al-karim dan sunnah Rasullullah saw.

Sistem pemikiran politik islam sentiasa meletakkan penyerahan diri kepada Allah, berbuat sesuatu kerana Allah, dan menjauhi laranganNya kerana takut kepada Allah. Sekiranya kegagalan berlaku dalam politik, maka tidak akan ada pelaku-pelaku politik yang akan kecewa dan akhirnya membunuh diri. Sebaliknya, bagi yang sepenuhnya berharap kepada Allah akan bersabar dengan apa yang terjadi kerana beliau tahu apa yang dilakukan adalah kerana Allah.

Selain itu, politik islam tidak akan dapat terlepas daripada konsep menyuruh kepada kebaikan dan menentang kemungkaran. Apabila keluar daripada konsep tersebut, maka politik sekular akan keluar mengambil alih. Maka, jelaslah bahawa sesuatu yang dilakukan hendaklah kerana Allah. Malangnya, sebahagian daripada masyarakat kita pada hari ini memandang budaya politik sekular ini sebagai sesuatu yang biasa dan tidak bersalah. Hal ini kerana masyarakat kita pada hari ini kurang mendalami ilmu politik dan agama itu sendiri. Mereka menganggap politik yang diamalkan sekarang adalah yang terbaik dan menganggap dengan adanya pembangunan lahiriah, maka penguasaan politik itu telah berjaya. Malah, para pemimpin politik kita pada hari ini juga beranggapan bahawa dengan menguasai sesebuah adun atau kawasan, maka mereka telah dapat menguasai kekayaan kawasan tersebut tanpa rasa ada hubung kait dengan alam dan penciptaNya.

Mengikut konsep politik islam, sesebuah Negara mestilah mempunyai tanah air, rakyat,pemerintah yang sah, sistem pemerintahan yang khusus, kedaulatan dan undang-undang. Negara islam merupakan wilayah yang dipimpin dan dikuasai oleh pemimpin adil dengan menjalankan semua hukum islam dan meninggalkan larangan Allah. Negara ini boleh dihuni oleh pelbagai kaum tetapi bagi masyarakat islam, mereka berkewajipan untuk menjaga, memelihara dan mempertahankan negaranya. Bagi pihak yang tidak beragama islam, mereka akan dikenakan cukai sebagai syarat menghuni Negara islam. Pemimpin Negara hendaklah tidak berlaku jahat kepada masyarakat bukan islam walaupun mereka masyarakat minoriti. Ini kerana mereka telah dilindungi dalam Negara islam sebagai Kafir Zimmi . Toleransi dan keadilan kepada semua masyarakat adalah penting bagi menjaga keamanan dalam sesebuah Negara. Contohnya, Larangan memakai tudung. Menurut Pengarah kumpulan hak asasi manusia, Mazludi, “Turki bukan sahaja mengharamkan pemakaian tudung di kalangan kakitangan awam atau pelajar sekolah seperti yang dilakukan di Perancis tetapi larangan itu turut meliputi kolej swasta, kelas memandu, mahkamah dan di sesetengah hospital”. Bagi mereka, tudung atau hijab dianggap sebagai simbol penindasan dan merendahkan martabat wanita. Wanita Islam dilihat sebagai tertindas dan tidak bebas dengan mengenakan pakaian yang sopan dan menutup aurat. Tetapi, Barat tidak tahu bahawa Islam tidak pernah menindas mana-mana gender, baik lelaki mahupun wanita. Wanita Islam sebenarnya tidak ditindas oleh agama dan masyarakat Islam tetapi tertindas dan dipinggirkan oleh masyarakat Barat sendiri. Kenyataan ini jelas menerusi beberapa peristiwa penindasan terhadap wanita Islam yang menetap di kelompok minoriti Islam. Penindasan ke atas wanita bertudung ini sering berlaku di negara-negara Eropah seperti Perancis, Jerman, Sweden, Norway, Belgium dan Turki. Contohnya, pada tahun 1989, dua orang pelajar wanita Islam di Perancis telah dibuang sekolah disebabkan hanya memakai tudung. Selain pengharaman pemakaian tudung di sekolah, pengharaman turut berlaku di pejabat, dalam gambar kad pengenalan, dan di tempat-tempat awam. Rijai Al-Jehani (2004) dalam artikelnya, “A Thinly Veiled Attack on Islam” menyebut bahawa kerajaan Perancis ingin menghapuskan simbol-simbol agama ini di sekolah, pejabat dan di tempat-tempat awam sehingga memaksa golongan Muslimah memilih samada untuk kekal di negeri atau agama mereka. Muslimah ini terpaksa mencari sekolah swasta atau belajar di rumah untuk meneruskan pembelajaran mereka. Berdasarkan keadaan ini, kita boleh lihat kerajaan Perancis mengamalkan dasar sekular iaitu ingin memisahkan agama di dalam kehidupan mereka. Keadaan ini berlaku di kebanyakkan negara-negara Eropah. Mereka ini terpaksa menempuh pelbagai cabaran daripada pihak yang menindas.

Selepas kejadian 1989, masyarakat digemparkan juga dengan pengharaman pemakaian tudung kepada pelajar siswi Islam di sekolah dan institusi pendidikan tinggi pada tahun 2004 di Perancis. Tindakan Perancis itu telah menggemparkan dunia, terutamanya melanggar hak asasi manusia lebih-lebih lagi wanita apabila mengharamkan penuntut wanita Islam untuk berhijab atau menutup aurat ke sekolah dan institusi pengajian. Jika kita amati secara terperinci, jelaslah bahawa Barat sebenarnya takut dengan Islam itu sendiri dan sebenarnya mereka menyatakan semua agama bebas beragama, namun pada sudut lain mereka melarang pemakaian tudung yang merupakan kewajipan ke atas muslimah. Penindasan ke atas golongan wanita bertudung ini bukan sahaja berlaku di Perancis, malah turut berlaku di Jerman di mana kerajaan Jerman juga mengharamkan pemakaian tudung kepada wanita Islam . Penindasan ini berterusan dan berlaku kepada Shabina Begum pada tahun 2005. Shabina Begum merupakan pelajar Denbigh, London yang dilarang ke sekolah setelah mempertahankan jilbabnya. Namun apa yang kita boleh contohi ialah kegigihannya mempertahankan Islam dengan membawa isu ini ke mahkamah dan akhirnya kemenangan berpihak kepadanya. Sejak itu bermulalah episod baru kepada wanita Islam di United Kingdom, di mana pengharaman tudung ditarik balik di sekolah-sekolah.

Sejarah menyaksikan kejatuhan empayar Turki Islamiyah pada tahun 1924 menyebabkan Islam ditindas dan mengalami kejatuhan yang teruk. Pemerintahan Mustafa Kamal Attartuk yang mengubah corak Islamiyah kepada sistem sekular menyebabkan berlakunya perubahan kepada negara tersebut. Kamal Attartuk menafikan hak majoriti Islam malah melindungi pula hak kaum minoriti yang beragama Kristian dan Yahudi menerusi perjanjian antarabangsa. Pemimpin sekular itu telah mengharamkan pakaian kebangsaan bagi wanita Turki ‘sharshaf’ (seperti abayah hitam), tulisan arab ditukar ke bahasa Latin, azan ditukar kepada bahasa Turki dan pengharaman pemakaian hijab di kalangan anak-anak gadis yang pergi ke sekolah agama. Pada tahun 1980, mahasiswa yang belajar di universiti diharamkan memakai hijab dan bagi siswa berjanggut tidak diberi tempat untuk belajar”.

Turki adalah negara yang didiami 99 peratus rakyat beragama Islam, namun terikat kepada sistem sekular diasaskan Mustapha Kamal Attartuk yang masih lagi menebal. Bahkan, jelas dalam Perlembagaan Turki menyatakan ciri sekular negaranya.
Akhirnya sinaran cahaya baru kembali setelah lebih kurang 83 tahun rohani wanita Islam di Turki terseksa oleh peraturan zalim manusia yang berpegang pada sekularisme. Pada bulan Februari 2008, sejarah permulaan pemulihan semula Islam di Turki telah tercatat apabila media massa melaporkan bahawa parlimen negara itu telah meluluskan pindaan perlembagaan yang menarik balik perintah pengharaman ke atas pemakaian hijab di universiti. Dengan penarikan pengharaman itu, maka gadis-gadis siswi kini akan dapat balik ke pusat pengajian tinggi dan menyambung pelajaran mereka. Merujuk kepada isu di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa mereka bukan sahaja hilang hak bersuara tetapi juga maruah mereka telah diragut oleh pentadbiran bercorak sekular ini. Jelaslah di sini bahawa hak asasi manusia tidak lagi dipandang oleh dunia terutamanya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Seorang Exco Peguam Syarie Malaysia, Nur Hidayah Muhd Hashim di dalam rencananya di Berita Harian bulan Februari 2008. Beliau menyatakan bahawa Malaysia berdepan dengan beberapa permasalahan membabitkan kod berpakaian tidak membenarkan wanita Islam memakai pakaian sopan menutup aurat seperti dilaksanakan beberapa syarikat besar di negara ini. Contohnya, syarikat penerbangan tambang murah yang terkenal mensyaratkan pakaian yang sopan untuk pekerja lelaki, tetapi sangat terdedah, sendat dengan skirt pendek yang tidak bersesuaian nilai ketimuran bagi pekerja wanitanya.

Masyarakat hari ini kebanyakkannya melihat wanita yang berhijab ini tidak mampu ke hadapan dan tidak boleh menempatkan diri di dalam perkara-perkara tertentu. Contohnya masyarakat memandang wanita berhijab tidak boleh aktif bersukan. Andaian ini adalah tidak benar sama sekali kerana wanita Islam mampu bersaing di persada antarabangsa. Ruqaya al-Ghasara, pemenang Pingat Emas 200m Sukan Asia Doha 2006 menyatakan bahawa memakai hijab tidak menghalang beliau di dalam bidang sukan malah ia telah menggalakkannya. Oleh itu, kita perlu mengubah persepsi masyarakat yang melihat bahawa wanita berhijab tidak mampu menceburi dan menguasai bidang sukan. Maka, benarlah bahawa kerajaan yang mengamalkan pemahaman sekular ini mengamalakan pemikiran yang sempit. Mereka juga telah dibutakan hatinya oleh Allah bahawa agama dan hal dunia perlu dipisahkan. Masyarakat yang dibukakan pintu hatinya oleh Allah akan melihat bahawa agama dan hal keduniaan tidak dapat dipisahkan kerana segala apa yang berlaku adalah berhubungan dengan penciptanya.

Fahaman sosialisme (Marxisme) mendakwa kebebasan dan persamaan untuk manusia. Pemerintahan sosialis telah menjadi penindas yang rakus sekali di ala mini. Jika kita lihat Negara-negara sosialis ini, ramai penduduknya yang melarikan diri dari Negara mereka sendiri. Pada bulan September 1989, akhbar-akhbar dunia telah melaporkan bahawa beribu penduduk Jerman Timur sedang melarikan diri ke Jerman Barat melalui Negara-negara jiran setelah mengalami pemerintahan Sosialis Rusia setengah abad. Sistem sosialisme terlalu mementingkan kemaslahatan umum jika dibandingkan dengan kebebasan peribadi. Akibatnya, negara ibarat penjara besar yang dipimpin oleh sekelompok orang, gerak-gerik warga negara dibatasi, mereka hanya bekerja untuk membolehkan mereka makan dan mereka juga tiada ruang untuk mengemukakan pendapat. Maka, lahirlah masyarakat yang jumud dan mundur.
Kehidupan manusia tidak akan berjalan mulus jika diatur oleh sistem seperti ini. Buktinya telah banyak negara penganut sistem ini yang hancur khususnya ekstrimis, semua warga telah menyedari seutuhnya, betapa radikalnya kepemimpinan kaum sosialis ekstrimis tersebut. Dari aplikasinya terbukti kelemahan sistem sosialis dalam beberapa aspek seperti pernyataan perang sosialisme terhadap keinginan individu yang telah memuncak dalam pemilikan harta yang digunakan untuk menyara keluarga dan anak-anaknya sebagai bentuk kasih sayang demi kehidupan mereka di masa depan.
Aspek yang kedua, penentangan sosialisme terhadap agama dengan alasan agama mengakui kepemilikan peribadi dan swasta serta menerima kenyataan adanya perbezaan strata sosial dalam masyarakat, agama juga menentang teori materealistis kaum sosialis dalam hidup yang hanya menjadikan manusia sebagai alat yang dipekerjakan dengan jaminan makanan, minuman, dan tempat tinggal sebagai upah dari pengorbanannya terhadap negara.
Aspek yang ketiga, karenah birokrasi dalam sosialisme yang menjadi tembok penghalang bekerja secara produktif dan cemerlang. Pemerintah menetapkan kebijakan hanya digunakan untuk menjamin pengawasan aset negara serta penjagaan dari pemborosan dan perampasan. Karena ketatnya pengawasan mengakibatkan pekerjaan menjadi susah. Maka, akhirnya, kerja menjadi lambat, kualiti menurun, projek memakan masa yang lama dan akhirnya mengalami kerugian. Keempat, sosialisme terpaksa menggunakan bahasa-bahasa kekerasan dalam menjalankan prinsip-prinsipnya serta melemparkan tuduhan membabi buta. Semua ini membentuk peribadi warga negara yang selalu bimbang, ragu, takut dan selalu merasa diawasi gerak-geriknya. Akhirnya, mereka akan cuba mengasingkan diri dari pemerintah kerana takut kepada tindakan kekerasan yang akan dikenakan ke atas mereka. Dalam situasi begini, ada pihak yang akan mengambil peluang menggunakan sumber asset nasional dan pelaburan serta membuka peluangbagi kaum hipokritis dan orang-orang yang mengeksploitasi kesempatan dalam menduduki jabatan-jabatan penting, sementara rakyat menjadi korban kezaliman pemerintah.
Kelimanya, sosialisme berkait rapat dengan politik dalaman yang berjuang mengukuhkan sistem sosialis dan menjaga kesinambungannya. Maka, mereka menguasai berbagai media berupa radio, surat kabar dan majalah-majalah yang didalamnya menulis tentang rancangan agenda pengawasan ketat terhadap warga negara sebagai tindakan berjaga-jaga terhadap kemunculan gagasan dan kegiatan-kegiatan yang menentang sistem sosialis. Tekanan media massa adalh satu medium yang cukup kuat dalam membentuk pemikiran warganegara sesuai dengan keinginan pemerintah. Selain itu, mereka juga menerbitkan buku-buku dan risalah secara berkala yang berisi pesanan pemerintah sosialis dan dibagikan kepada setiap individu warga negara serta kaum intelek. Akibatnya kebebasan dan pemikiran menjadi terkekang. Walaupun Negara kita bukan Negara sosialis, namun, kerajaan telah menguasai semua media agar segala pemikiran dan wawasan mereka dapat disebarkan kepaa rakyat. Ketidak adilan jelas di sini apabila hak pihak pembangkang dipertikaikan. Kebebasan bersuara pihak pembangkang diketepikan. Maka, jadilah rakyat Malaysia masyarakat yang tutup pemikirannya.
Aspek yang kelima, penyimpangan nyata dari prinsip dan penerapan Sosialisme. Hitler menamakan partinya dengan Parti Sosialis NAZI dan Musellini menamakan partinya dengan Parti Sosialis Fasisme. Pemerintah Inggeris yang menganut fahaman liberalisme mengakui negaranya sebagai negara sosialis. Perancis, China, Yugoslavia dan Rusia juga dipimpin oleh parti sosialis. Negara-negara diatas walaupun mengaku sebagai negara sosialis, tetapi sering terjadinya pertikaian yang berpanjangan antara mereka sendiri. Pertumpahan darah dan perang senjata pasti akan berlaku jika pihak sosialis ini memasuki sesebuah Negara.

Pada hakikatnya fahaman sosialisme (Marxisme) bertujuan untuk memusnahkan segala persaingan dalam ekonomi dan politik serta membina atasnya sebuah monopoli terbesar yang akan menguntungkan pemodal-pemodal antarabangsa yang tertentu. Rakyat walaupun dari anggota politiknya hanya menjadi buah catur dalam proses itu dan banyak yang terkorban pada tahun 1932-1933 di Ukraine, Soviet Russia. Dianggarkan bahawa lebih kurang 7 hingga 10 juta manusia telah terkorban akibat kebuluran yang bukan disebabkan oleh malapetaka tabii tetapi oleh arahan (decree) Stalin. Pada masa yang sama rupanya syurga yang dijanjikan oleh sosialisme (Marxisme) kepada kaum proletariat. Para pemodal antarabangsa lebih senang berunding dan mengikut janji seorang dictator atau parti berkuku besi yang tidak mengambil berat kepada kebebasan rakyat atau nilai-nilai moral. Yang penting bagi mereka ialah menjaga supaya pemodal-pemodal lain yang tidak termasuk dalam kelompok mereka dihapuskan dan kuasa serta pengaruh mereka dikekalkan melalui parti sosialisme Marxisme yang menyesatkan dan dalam kegelapan. Mereka berselindung di sebalik tabir ‘kepentngan rakyat’ dan ‘negara’ dan mempergunakan slogan kosong seperti kebebasan, persaudaraan dan persamaan.

Komunisme membuat anggapan bahawa ‘semua manusia adalah sama’. Oleh itu, mengikut prinsip keadilan, mereka diberi bahagian yang sama. Sebenarnya manusia bukanlah semuanya sama. Semua orang dilahirkan dengan kebolehan dan kecekapan dalam bidang masing-masing. Kepelbagaian kurniaan Allah mendorong manusia supaya tolong-menolong dan saling bantu membantu antara satu sama lain serta saling melengkapi. Maka, fikrah yang menganggap bahawa ‘semua manusia adalah sama’ adalah satu pendustaan yang nyata. Perbezaan yang terdapat di dalam struktur masyarakat membahagikan manusia kepada kelompok-kelompok tertentu, misalnya kelompok pekerja, intelek, pentadbir, perniagaan, kaya, miskin dan sebagainya mungkin juga merupakan perbezaan yang selaras dengan sifat semulajadi manusia dan bukan semata-mata hasil tekanan dari luar atau system ekonomi yang tidak adil. Islam menganjurkan sistem yang adil dan menggalakkan individu meninggikan taraf kehidupannya serta tanpa halangan menurut keturunan, bangsa dan ideologi. Teori sosialisme ini akhirnya telah menanam anasir-anasir yang membawa kepada pecah-belah antara satu sama lain kerana tidak berkebolehan dan malas bekerja untuk meningkatkan prestasi kerana mereka mendakwa hak pembahagian upah dan kekayaan adalah sama bagi setiap individu. Seterusnya, konsep ini boleh membantutkan kemajuan dan pembangunan pihak individu dan Negara.

Aliran Islam liberal mempercayai bahawa kerukunan hidup masyarakat negara ini yang berbilang bangsa dan budaya hanya boleh dijelmakan menerusi asas sekularisme. Asas agama yang menjadi tunjang pembentukan negara ini dilihat sebagai penghalang kepada kerukukan dan kemajuan hidup warganegaranya. Untuk itu, agenda pensekularan masyarakat harus menjadi rancangan utama dalam rangka membina sebuah bangsa Malaysia yang harmoni.

Aliran ini yang kini sedang mendapat tempat dan dokongan dari pertubuhan bukan kerajaan dan individu-individu yang sebahagiaanya agak berpengaruh merupakan satu cabaran baru kepada umat Islam negara ini secara khusus. Cabaran ini, sekiranya tidak ditangani secara berhemat akan menjadi ancaman kepada kerukunan dan keharmonian hidup beragama di kalangan masyarakat berbilang bangsa. Dengan tindakan yang cuba mencabar institusi pemerintahan dan kepimpinan agama dalam sebuah negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi dan majoriti penduduknya komited dengan ajaran agama yang diasaskan berdasarkan tradisi ajarannya yang tersendiri, ia adalah suatu langkah yang tidak begitu bijak walaupun atas alasan dan cita-cita yang sungguh murni kerana bakal mengundang `ketidaktentuan’.

Adalah suatu kesilapan besar bagi aliran Islam liberal menyamakan suasana kehidupan beragama di negara ini kini seperti keadaan kehidupan agama masyarakat Barat dalam abad ke 16 hingga 18 masihi yang lalu. Penyamaan latar sejarah ini merupakan kesalahan perspektif yang paling tragis sekiranya ia diteruskan, malah bakal berhadapan dengan bantahan-bantahan di masa hadapan. Ini kerana, dalam konteks negara ini, faktor ajaran Islamlah, terutamanya prinsip toleransi, keterbukaan sikap, semangat ukhwah keinsanan dan kecintaan kepada keamanan dan perdamaian yang terhayat dengan cukup mendalam di dalam sanubari orang-orang Islam yang memungkinkan penganut-penganut agama lain dapat hidup dengan bebas mengamalkan ajaran agama dan kebudayaan tradisi yang diwarisi dari negara asal masing-masing.

Berdasarkan keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal Agama Islam, muzakarah telah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam. Keputusan gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng daripada aspek akidah dan syariah seperti berpegang kepada konsep Pluralisme. Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

Aspek akidah yang kedua ialah mereka mengabggap bahawa akal manusia adalah wahyu. Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.

Aspek akidah yang ketiga ialah meragui ketulinan Al-Quran. Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah budaya Arab.

Merujuk kepada aspek syariah pula, mereka mempersoalkan methodologi pentafsiran Al-Qur’an dan Al-Hadith. Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang diguna pakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

Mereka juga menggesa tafsiran baru tentang konsep ibadat. Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat. Aspek syariah yang ketiga ialah mempertikaikan kriteria dan akhlak kenabian. Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

Aspek yang keempat ialah sikap mereka terhadap ilmu-ilmu islam. Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam disiplin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam. Aspek kelima ialah sikap mereka terhadap hukum. Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

Hakikatnya, keputusan fatwa pengharaman Islam Liberal oleh Jawatankuasa Fatwa merupakan lambang kepada fungsi yang dimainkan oleh kerajaan sebagai pemerintah Islam yang diamanahkan untuk menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Bagi golongan pemerintah Islam mereka bertindak berasaskan konsep siyasah syar’iyyah iaitu demi menjamin kesucian agama di samping membangunkan urusan dunia (hirasat al-din wa ‘imarat al-dunya). Melalui konsep tersebut maka pengharaman pemikiran-pemikiran tertentu adalah salah satu cara yang digunakan oleh pemerintah demi menyekat jalan-jalan (sadd al-zari’ah) yang boleh merosakkan aqidah dan pemikiran umat Islam.

Memang diakui bahawa pemikiran adalah hak asasi setiap individu yang berakal. Ia sekali-kali tidak boleh disentuh atau diusik walau diperlaku bagaimana sekalipun. Namun bukankah dengan pemikiran lahirnya segala tingkah laku dan amal perbuatan. Jika tidak masakan hadith Rasulullah SAW mengatakan:

Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat.

Oleh kerana itulah maka Islam sedari awal telah menolak setiap pemikiran atau niat yang menyeleweng kerana ia sudah tentu melahirkan perbuatan yang sama jua.








No comments:

Post a Comment

YA ALLAH..jadikanlah aku golongan syabab li inqaz al ummah..!! ameen.. (pemuda yang berperanan untuk mengangkat darjat ummah)