Tuesday, December 15, 2009

jOm cOntOhi imam

tokoh-tokoh imam islam

Imam Abu Hanifah An-Nu’man, Iman Malik bin Anas, Imam Muhammad bin Idris Asy-Syafi’I dan Imam Ahmad bin Hanbal merupakan antara imam-imam terkemuka dalam sejarah peradaban Islam.

Imam Abu Hanifah An-Nu’man yang merupakan Pahlawan Syahid memiliki ilmu yang sangat luas terutama tentang penemuan-penemuan beliau di bidang hukum dan memecahkan masalah-masalah yang bersangkutan dengan perkara tersebut. Beliau telah Berjaya memberi penyelesaian kepada sejumlah 60 000 buah masalah yang dihadapi umat Islam. Lantaran itu, beliau digelar Imam A’zdam. Di samping Kitabullah Al-Qur’an, beliau juga berpegang kepada hadis-hadis tetapi hanya hadis-hadis yang benar sahih muktamad sajalah yang dijadikan sandaran. Nama sebenar beliau adalah Abu Hanifah An-Nu’man Bin Stabit Bin Zautha. Beliau dilahirkan di Kufah pada 80 Hijrah bersamaan 699 Masihi dan berketurunan Persia. Nama “An-Nu’man” diberi sebagai kenangan kepada salah seorang raja Persia di masa silam. Orang-orang Arab yang fanatik merasa kurang senang melihat munculnya seorang ahli fiqh yang tidak berasal daripada bangsa Arab sendiri. Sejak kecil lagi, iaitu di usia kanak-kanak, Abu Hanifah banyak melihat kejahatan yang dilakukan oleh Al-Hajjaj, gabenor Irak, dan pembasmian yang dilakukannya terhadap siapa sahaja yang berani menentang penguasa Bani Umayyah, tidak diendahkan siapakah yang menentang, ulama ahli fiqh kenamaan atau tidak. Dalam hati kecilnya, beliau menolak dan menentang keras terhadap tingkah laku dan penindasan yang dilkukan oleh Bani Umayyah. Dari ayah dan ibunya, beliau mewarisi perasaan cinta terhadap Ahlul Bait Rasullulah s.a.w. Ayah Abu Hanifah merupakan seorang pedagang besar dan sejak kecil lagi beliau telah membantu ayahnya. Beliau selalu mengikuti ayahnya ke tempat-tempat perniagaan dan turut berbicara dengan pedagang-pedagang besar sambil mempelajari pengetahuan perdagangan serta rahsianya. Itulah yang dilakukan sehari-hari sehinggalah saat seorang ulama fikih melihatnya dan menyarankannya agar beliau mengalihkan perhatiannya kepada para ulama. Sejak itu, Abu Hanifah menumpukan kegiatannya pada bidang ilmu pengetahuan. Beliau berhubung dengan beberapa ulama dan tidak pernah meninggalkan mereka hingga akhir hayat. Dengan ksungguhan dan ketekunannya, beliau terus menerus belajar. Sementara itu, ramai orang turut menimba ilmu darinya. Pemuda yang berbadan tinggi, kurus dan berkulit sawo matang itu mecapai kemajuan yang membanggakan. Hal itu lebih mendorong minat beliau pada ilmu dan pengetahuan. Beliau selalu mengikuti kelompok-kelompok pendidik yang diadakan oleh para ulama di dalam Masjid Kufah. Beliau turut menuntut ilmu yang ada di Kota Bashrah. Perjalanannya berulang-ulang diantara Kufah dan Kota Bashrah. Namun kemudian diakhiri dengan tekadnya untuk tetap tinggal di kampung halamannya. Di Kufah, beliau tetap tekun mempelajari ilmu fiqh agar dapat menghadapi masalah yang timbul pada zamannya. Beliau juga turut mempelajari cara di dalam menarik kesimpulan dalam menetapkan ketentuan hhukum. Ketika ayahnya meninggal dunia, beliau meneruskan perniagaan yang diwarisi ayahnya iaitu kain sutera. Beliau hendak bekerjasama dengan pedagang lain supaya beliau mempunyai waktu yang cukup untuk menuntut ilmu dan mendalami ilmu agama hingga dapat mencari kebenaran hukum. Pada mulanya beliau berguru dengan beberapa orang guru di Masjid Kufah dan akhirnya berguru kepada seorang ulama sahaja. Terdapat satu ketika di mana beliau menggantikan gurunya untuk mengajar di dalam halaqah. Setelah gurunya pulang ke Kufah, semua jawapan yang diberikan di dalam halaqah disampaiakan kepada gurunya. Daripada 60 masalah (kasus), hanay 40 yang dipersetujui gurunya dan semenjak itu beliau bersumpah tidak akan berpisah dengan gurunya sehingga alhir hayat hidupnya. Abu hanifah berusai 40 tahun ketika gurunya meninggal dunia. Dengan itu, beliau menjadi guru dalam halaqah, menggantikan gurunya yang telah tiada. Imam Abu Hanifah membahagi waktunya untuk urusan perdagangan dan sebahagian lagi untuk menuntut ilmu. Atas dasar ilmu dna pengalamannya, beliau menetapkan dasar-dasar hokum muamalat dalam bidang perdagangan, iaitu dasar hokum menurut ketentuan agama. Dalam hal ini, beliau meneladani Abu Bakar As-Siddiq yang bermuamalat dengan baik, bertakwa kepada Allah s.w.t. dan mendapat keuntungan yang masuk akal hingga tidak menimbulkan keraguan bahawa keuntungan itu sama dengan riba. Beliau banyak mendapat keuntungan daripada perdagangannya dan kekayaannya didermakan untuk membantu fakir miskin, khususnya dari kalangan sahabat dan murid-muridnya. Abu Hanifah menganjurkan sahabat-sahabatnya supaya memperhatikan penampilan yang baik. Beliau sendiri, apabila menunaikan solat, selalu memakai busana terbaik dan selalu menggunakan minyak wangi, kerana kesedaran beliau menghadapkan diri kepada Allah s.w.t. Beliau seorang yang rendah hati, pendiam, berbicara seperlunya, dan tidak berbicara bila tidak ditanya. Apabila di dalam suatu perbincangan atau perdebatan ada yang berbicara kasar, beliau bersabar. Beliau turut member penghargaan yang tinngi kepada kaum wanita, kesan daripada kasih sayang yang mendalam terhadap ibunya. Selain itu, ia juga disebabkan oleh pemahaman dan kesedaran yang mendalam tentang ajaran Islam, menerapkan sunnah Rasullulah s.a.w., serta kecemerlangan hasil ijtihadnya. Semasa hayatnya, Abu Hanifah banyak menghadapi kasus-kasus kejadian baru yang tidak pernah dihadapi sebelumnya. Beliau seorang yang berani kerana benar. Pendapat dan pemikirannya di bidang ilmu fiqih menyentuh pemikiran dan perasaan masyarakat, serta mendorong mereka bergerak mempertahankan kemerdekaan dan berbuat dengan tetap berpegang kepada prinsip ajaran Islam. Pemikiran dan pendapatnya memang bertentang dengan suasana zaman hidupnya. Imam Abu Hanifah menolak pangkat dan kedudukan. Dulu, penguasa Bani Umayyah menawarkan kedudukan sebagai qadhi (hakim). Kerana menolak, beliau dipenjara dan diseksa sehingga kepalanya membengkak. Di dalam penjara, kesihatannya merosot. Beberapa hari kemudian, berlaku pemberontakan terhadap Bani Umayyah, memprotes tindakan kejam terhadap Imam Abu Hanifah. Pada akhirnya, beliau terpaksa dibebaskan. Beliau tidak kembali ke Kufah, beliau menetap di Hijaz. Setelah keruntuhan Bani Umayyah, barulah beliau pulang ke kampong halamannya. Penguasaan Bani ‘Abbas turut melakukan pelbagai kekejaman dan menindasan kaum ‘Alawiyyin. Mereka menawarkan kedudukan sebagai hakim tertinggi tetapi beliau menolak kerana ingin menumpukan sepenuhnya terhadap ilmu agama.Ketia berusia 70 tahun, beliau sekali lagi dimasukkan ke penjara dan diseksa berikutan beliau tidak mahu menerima jawatan yang ditawarkan iaitu sebagai hakim. Sepanjang beliau di penjara, beliau sering didatangi oleh utusan-utusan khalifah menawarkan jawatan dan pangkat jika tidak terus diseksa. Abu Hanifah menolak semua itu. Beliau keluar masuk penjara hanya kerana beliau menolak hadiah, kedudukan dan pangkat yang ditawarkan oleh khalifah. Kesihatannya semakin membimbangkan dan para petugas yang menyiksanya khuatir jika setelah Abu Hanifah keluar dari penjara, beliau akan memberitahu masyarakat tenteng kekejaman yang berlaku di dalam penjara. Untuk itu, beliau diracun sebelum dikeluarkan dari penjara. Beliau dapat merasai sesuatu hampir berakhir, beliau berpesan agar jenazahnya dimakamkan di tanah yang baik, tanah yang tidak dapat diganggu oleh seorang khalifah mahupun seorang pembesar istana. Demikaianlah penghujung riwayat seorang ahli fiqih berketurunan Persia dan pendiri mazhab “Ar-Ra’y”, yang pada tahun-tahun terakhir hidupnya terkenal dengan gelaran “Imam Besar”. 50 000 penduduk Irak mengiringi jenazahnya sehingga khalifah terpaksa harus mengimami solat jenazah seorang Imam yang dengan tenang meninggalkan kehidupan dunia selamanya. Menurut riwayat, di dalam kehidupan seharian, di samping memiliki akhlak dan tingkah laku yang mulia, Abu Hanifah selalu menjaga kesucian diri dan harta beliau. Diberitakan bahawa, sewaktu beliau meninggal dunia, beliau telah mengkhatam Al Quran sebanyak 7 000 kali.

Imam Malik ibn Anas hidup sezaman dengan para Imam Besar seperti Imam Ja’far ash-Shadiq,Imam Al-Layts inb Sa’ad (Mesir) dan Imam Abu Hanifah. Imam Malik lebih mengenali Imam Ja’far ash-Shadiq memandangkan Imam Ja’far merupakan gurunya. Sementara, Imam Al-Layts inb Sa’ad (Mesir) dikenalinya sejak kedua-duanya masih muda, ketika sama-sama menhadiri halaqah di dalam Masjid an-Nabawi di Madinah. Beliau juga disebut Imam al-Haramayn iaitu Pencinta Kota madinah kerana sejak lahir sehingga meninggal dunia, beliau tinggal dan menetap di Kota Madinah. Di sana, beliau dapat merasakan “bau kenabian” dan “hembusan nafas suci” Nabi. Pada masa hidupnya, Madinah masih merupakan kota yang bersih dari pengaruh Yunani, India dan Persia. Beliau juga tidak suka terlibat dalam pergolakan politik. Imam Malik dilahirkan pada tahun 93 Hijrah dan merupakan anak bongsu dalam keluarganya. Beliau sudah dapat menghafal Al-Quran dan sejumlah hadis ketika usianya baru 10 tahun. Walaupun begitu, Malik sebagai anak muda masih suka bermain-main sehinggakan beliau dimarahi ayahnya kerana itulah yang membuatkan Malik lupa belajar. Malik menangis sedangkan sebelumnya Malik jarang menangis. Malik takut lalu mendekati ibunya, meminta perlindungan, nasihat dan pertolongan. Keesokan paginya selepas solat subuh, malik dimandikan, disediakan pakaian yang baik, diusap minyak wangi, dan dipakaikan serban lalu dihantar ke masjid Rasullah s.a.w. untuk belajar ilmu agama. Bagi Malik, ibunya memilih halagah Rabi’ah, satu diantara 70 halaqah dan Rabi’ah merupakan ulama ahli fiqih terbesar. Sejak itu, untuk seterusnya selama hidup, Malik membiasakan mandi dengan baik dan teratur, memakai wangian, dan mengenakan pakaian terbaik setiap kali menghadiri halaqah untuk belajar dan mengajar. Semua orang yang hadir di masjid Nabawi benar-benar hairan menyaksikan seorang anak berkulit kecoklatan memakai serban seperti orang tua dan menebarkan bau harum. Malik memegang sebuah buku-tulis dan mencatat apa yang dkatakan gurunya. Dengan pandangan mata dan telinga yang tajam, beliau dapat menilai masalah yang sukar dari hasil ijtihad Rabi’ah. Sejak hari itu, hari-hari awal abad ke-2 Hijrah, Malik ibn Anas harus menghadapi berbagai kesukaran dalam menuntut ilmu. Ibunya selalu menasihati agar tetap pergi menghadiri halaqah Rabi’ah dan menimba ilmu agamanya terlebih dahulu sebelum menimba ilmu sasteranya. Rabi’ah terkenal sebagai ahli ilmu mazhab “An-Ra’y” (mazhab yang – dalam menghadapi masalah-masalah yang tidak terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah – mencari pemecahan hokum dengan berijtihad, iaitu memaksimakan penggunaan akal fikiran untuk membuat kesimpulan hokum melalui cara qiyas). Selain itu, Malik turut tertarik dengan beberapa jenis ilmu pengetahuan yang terdapat pada halaqah-halaqah lain lalu berpindah-pindah halaqah. Malik mempejari pelbagai ilmu pengetahuan seperti fiqh, cara menghafal Al-Quran sambil mendengar tafsirnya, menghafal hadis Nabi dan mempelajari fatwa-fatwa hukum. Kemudiannya, Malik kembali kepada gurunya, Rabi’ah atau guru-guru lain yang dipandangnya mempunyai ilmu yang lebih banyak dan mendalam. Malik seorang yang rajin dan tekun belajar. Selain belajar di masjid, beliau turut ke rumah guru-gurunya untuk menuntut ilmu. Adakalanya, beliau sanggup menuggu gurunya pulang ke rumah. Setelah gurunya pulang, beliau tunggu sebentar sebelum mengetuk pintu rumahnya. Kadangkala, beliau membawa buah-buah kurma kepada gurunya. Sehingga dewasa, Malik terus menuntut ilmu. Setelah warisnya meninggal dunia, Malik harus membiayai kehidupannya sendiri bersama seorang isteri dan anak perempuannya. Beliau masih mewarisi barang-barang dagangan ayahnya bernilai 400 dinar. Teapi. Berikutan masanya banyak dicurahkan dalam menuntut ilmu dan tidak memikirkan usaha dagangnya menyebabkan perniagaannya bangkrup. Kehidupan beliau sekeluarga makin menderita sehingga terpaksa menjual kayu dari atap rumahnya. Dalam ketika itu, beliau berkenalan dengan Al-Layts ibn Sa’ad. Al-Layts ibn Sa’ad mengetahui bahawa walaupun beliau selalu berpakaian baik, rapi, dan bersih serta selalu memakai wangian, beliau seorang yang miskin dan menderita.Penampilannya seharian sengaja dilakukan begitu untuk menutup kemiskinan, kerana beliau seorang yang mengenal harga diri, pantang meminta-minta pertolongan orang lain. Sedangkan, Al-Layts ibn Sa’ad orang yang hidup berkecukupan. Al-Layts ibn Sa’ad membri wang yang banyak dan mendesak agar temannya menerima wang tersebut. Al-Layts ibn Sa’ad pulang ke negeinya di Mesir namun beliau tetap mengirimkan wang kepada Malik ibn Anas sehingga keadaan Malik menjadi baik atas kurniaan Allah s.w.t. ketika itu, khalifah yang sedang berkuasa menyambut baik seruan yang terus-menerus dinyatakan oleh Malik agar penguasa member gaji atau penghasilan lainnya kepada para ahli ilmuan. Malik ibn anas tetap menuntut ilmu walaupun setelah menjadi imam besar dan selalu didatangi oleh murid-muridnya dari berbagai negeri. Kegiatan menuntut ilmu terus dilakukan sehingga beliau meninggal dunia pada usia 86 tahun. Imam Malik selalu mengajar murid-muridnya agar berhati-hati dan berusaha keras untuk menghindari kekeliruan dalam mengeluarkan fatwa-fatwa dan menyatakan pendapat. Menurutnya, apabila seorang ahli fikih tidak dapat memastikan kebenaran tentang apa yang dikatakan, dia harus berani mengakui bahawa dirinya tidak mengetahui atau tidak mengerti. Fatwa adalah salah satu ujian bagi seorang ahli ilmu. Beliau sendiri seorang yang berhati-hati dan tidak tergesa-gesa dalam mempelajari fatwa sebelum dikeluarkan. Imam Malik adalah orang yang menyukai ketenteraman. Belaiu mendambakan kehidupan yang tenang agar dapat tekun mempelajari ilmu tanpa sebarang gangguan. Beliau tidak menyukai pendebatan, hiruk-pikuk, pertengkaran, dan perbicaraan soal-soal yang tidak mempunyai manfaatnya bagi manusia dalam kehidupan sehariannya. Masa berlalu, Imam Malik telah berusia 40 tahun. Selama 30 tahun, beliau tidak berpisah dengan ulama fiqih. Dari mereka, beliau menerima hadis, disaring dan diteliti satu persatu kebenarannya. Setelah itu, beliau mengadakan halaqahnya sendiri. Beliau menganjurkan murid-muridnya supaya memakan makanan yang baik, kerana ia dapat membentuk badan yans sihat, kerana akal yang sihat berada di dalam badan yang sihat. Demikianlah kehidupan Imam Malik seharian. Sejak beliau mula mengajar hingga memberikan fatwa tentang berbagai permasalahan. Beliau berbadan sihat dan kuat, berpandangan jauh dan tajam, makanan dan tempat tinggalnya baik, serta berbusana putih anggun dari kain buatan Mesir, Khurasan dan ‘Aden. Selepas solat subuh, semua orang yang hadir di masjid Nabawi melihat seorang lelaki yang berwibawa, bertubuh jangkung, berkulit kekuning-kuningan dengan wajah keputih-putihan, bermata lebar dan berhidung mancung, berjanngut lebat dan berkumis. Beliau megambil tempat dengan tenang, kemudian berbicara dengan suara yang jelas dan penuh kesungguhan sambil duduk bersandar. Beliau dikelilingi oleh murid-muridnya yang khusyuk mendengar. Imam malik menetapkan hari-hari tertentu untuk menguraikan penjelasan tentang hadis Nabi Muhammad s.a.w., sementara hari-hari yang lain dikhususkan untuk membahas masalah dan fatwa. Imam malik juga turut menulis buku. Bukunya yang paling bermutu adalah Al-Muwaththa’ yang menurut pengertian bahasa al-munqah (sudah tersaring). Setelah berusai lanjut, beliau mengadakan halaqahnya di rumahnya sendiri. Beliau terkenal dengan seorang yang mudah bergaul, tetapi setelah lanjut usia, beliau meninggalkan kebiasaan itu. Bahkan, beliau tidak ladi solat berjamaah di masjid dan tidak hadir dalam solat Jumaat. Sebenarnya, Imam Malik menderita penyakit kencing manis (diabetes) dan tidak diketahui oleh orang lain. Selepas usianya mencapai 80 tahun, penyakitnya bertambah serius dan beliau tidak mahu lagi keluar dari rumahnya. Setelah beliau meninggal dunia, fiqhnya berkembang dan diperkaya oleh banyak ahli fikir, para mujtahid, dan para ahli fiqh. Namun, sebahagian dari ahli fiqh yang hidup sezaman dengannya menentang keras dan menyalahinya. Bahkan, sahabat dan muridnya ada yang mengkritiknya seperti Imam Al-Layts dan Imam Asy-Syafi’I. Sahabat-sahabat dan murid-muridnya yang berbeza pendapat dengannya tetap menghargai dan menghormatinya. Meskipun terdapat perselisihan pendapat,namun mazhab Imam Malik tetap hidup dan mengalami pembaharuan.

Imam Asy-Syafi’I telah dilahirkan di gaza, Palestin pada tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi yang juga menjadi tahun wafatnya Imam Abu Hanifah. Nama sebenar beliau adalah Muhammad ibn Idris ibn al-‘Abbas ibn Asy-Syafi’I ibn As-Sa’ib ibn ‘Ubayd inb “Abduyazid ibn Muththalib ibn ‘Abdumanaf. Muththalib adalah saudara kandung Hasyim ibn ‘Abdumanaf. Sedangkan Hasyim adalah ayah ‘Abdul Muththalib, datuk Nabi Muhammad s.a.w. Ibu Imam Asy-Syafi’I adalah cucu perempuan dari saudara perempuan Fathimah binti ‘Asad, ibu Imam ‘Ali ibn Abi Talib k.w. Imam Asy-Syafi’I adalah putera suami isteri yang sama-sama berdarah Quraisy. Penduduk Mesir menggelarnya “Qadhi asy-Syari’ah” (hakim Syariat), meskipun beliau tidak pernah menjawat jawatan sebagai qadhi atau hakim. Sebutan tersebut menunjukkan betapa tingginya penilaian masyarakat Islam di tanah Mesir terhadap seorang imam fiqh yang berwawasan luas dan berilmu syariat yang sangat mendalam. Ayahnya miskin dan sering meninggalkan Makkah untuk mencari penghidupan yang lebih baik di Madinah tetapi tidak berhasil. Lalu, mereka berpindah ke Gaza lalu ayahnya meninggal dunia 2 tahun selepas kelahirannya. Kemudian, mereka pulang semula ke Makkah. Dalam usia kanak-kanak, beliau mengikuti pembelajaran di suatu lembaga pendidikan di Makkah. Malangnya, ibunya tidak mempunyai wang untuk membiayai yuran pengajiannya. Sebenarnya, guru yang mengajarnya hanya terbatas memberikan pelajaran kepada anak-anak yang lebih besar. Tetapi, setai apa yang diajarkan pada Asy-syafi’I dapat difahami dan dikuasai dengan baik, dan dapat menggantikan gurunya untuk meneruskan apa yang diajar kepadanya untuk anak-anak murid yang lain. Akhirnya, beliau dipandang sebagai murid yang bantuannya lebih besar daripada bayaran yang diharapkan dari ibunya. Oleh itu, beliau dibiarkan terus belajar tanpa bayaran sehinggalah beliau berkesempatan belajar Al-Qur’an dan mengkhatamnnya dalam usia 7 tahun. Tamat mempelajari Al-Qur’an, ibunya memasukkannya ke dalam lembaga pendidikan lain yang berada di dalam Masjid Haram, agar dapat membaca Al-Qur’an lebih baik termasuk tajwid dan tafsirnya. Dalam usia 13 tahun, beliau sudah mampu membaca Al-qur’an dengan tartil dan baik, sudah dapat menghafalnya, bahkan dapat memahami apa yang dibacanya seiring dengan kesungguhan seorang anak muda nerusia 13 tahun. Beliau membaca dengan suara merdu dan tartil, benar-benar khusyuk dicengkam perasaan sedih bercampur perasaan takut kepada Allah s.w.t. Di saat beliau membaca Al-Qur’an di Masjid Haram, banyak orang yang mendengarnya duduk bersimpuh di depannya, bahkan ada pula yang mengalirkan air mata kerana terpukau mendengar suaranya yang merdu. Apabila beliau melihat kejadian itu, beliau berhenti membaca. Beliau kemudian belajar menghafal banyak hadis pada guru-guru tafsir dan ahli di bidang ilmu hadis. Pada ketika itu, harga kertas sangat mahal. Untuk mencatat pelajaran, beliau mengumpulkan kepingan-kepingan tulang yang lebar dan besar. Di atasnya, beliau menulis catatannya. Apabila tidak menjumpai tulang, beliau akan pergi ke diwan (tempat masyarakat mencatatkan berbagai urusannya dlam kehidupan seharian, seperti pejabat) untuk mengumpulkan buangan kertas yang bahagian belakangnya masih dapat digunakan untuk mencatat. Susah baginya untuk memperoleh kertas menyebabkan beliau menhafal bagi mengingati apa yang diajar. Kerana kebiasaan itu menjadikan beliau memiliki daya ingatan yang amat kuat sehingga dapat menghafal semua pelajaran yang diterima gurunya. Menurut catatan sejarah, kitab ilmu yang pailnr terkemuka ketika itu ialah Al-Muwaththa’ karangan Imam Malik, beliau dalam usia mudanya ketika 15 tahun sudah Berjaya menghafal keseluruhan kitab tersebut. Beliau kemudian berhijrah ke Madinah untuk berguru pula dengan penulisnya.ketika beliau berhijrah ke Madinah, umurnya baru mencecah 20 tahun dan beliau terus tinggal bersama Imam Malik sehingga kematian Imam Malik pada tahun 179 Hijrah bersamaan 796 Masihi. Ketokohan Imam Asy-Syafi’I sebagai murid terpintar Imam Malik telah diiktiraf oleh ramai pengkaji sejarah dan juga cendiakiawan Islam. Beliau juga pernah mengambil alih sebentar kedudukan Gabenor Yaman. Jawatan tersebut tidak lama disandang berikutan beliau dituduh dan difitnah sebagai pengikut dan pendokong ajaran Syiah. Di samping itu, pelbagai konspirasi lain telah dijatuhkan ke atasnya sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara Baghdad, pusat pemerintahan Dinasti Abbasiyah ketika itu. Pada suatu hari, beliau dibawa menghadap ke hadapan Khalifah Harun Ar-Rasyid bersabit dengan semua tuduhan tersebut tetapi beliau telah Berjaya membuktikan kebenarannya. Kehandalan serta kecekapan beliau membela diri dengan perlbagai hujah agama menyebabkan Khalifah Harun sendiri menjadi tertarik kepada beliau. Asy-Syafi’I kemudian dibebaskan dandibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sinilah beliau telah berkenalan dengan tokoh-tokoh agama seperti Imam Abu Hanifah dan duduk berguru dengan mereka. Selain itu, beliau juga berguru dengan Imam Muhammad al-Hasan asy-Syaibani. Ini memberikan kelebihan kepada beliau belajar dan membandingkan antara 2 ajaran fiqah Islam, iaitu Imam Malik dan Imam Abu Hanifah. Tahun 188 Hijrah bersamaan dengan 804 Masihi menyaksikan beliau kembali berhijrah ke Mesir. Sebelum itu, beliau singgah sebentar di Mekah dan dia sana beliau diberi penghormatan sebagai tokoh besar dan dipelawa untuk member ceramah dan kuliah agama. Di atas segala usaha-usaha murni yang beliau taburkan pada masyarakat, beliau mula diiktiraf sebagai seorang imam. Beliau banyak berusaha mentup lurah-lurah perbezaan antara Imam Malik dan Imam Abu Hanifah. Usahanya tidak disambut baik oleh penduduk Mekah kerana kebiasaan mereka kepada ajaran asal Imam Malik. Pada tahun 194 Hijrah bersamaan tahun 810 Masihi, beliau kembali semula ke Baghdad dan dipelawa memegang jawatan kadi bagi Dinasti Abbasiyah. Namun begitu, beliau menolak jawatan tersebut. Di Baghdad, beliau hanya tinggal 4 tahun sahaja sebelum kembali semula ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana. Dalam usaha beliau cuba menutup lurah-lurah perbezaan antara Imam Malik dan Imam Abu Hanifah, beliau menghadapi berbagai tentangan terutamanya dari pengikut Imam Malik yang amat taksub kepada guru mereka. Pada suatu malam, dalam perjalanan pulang ke rumah dari kuliah Maghribnya di Mesir, Imam Asy-Syafi’I telah dipukul oleh pengikut-pengikut Imam Malik yang fanatic sehinggakan menyebabkan beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia. Pada ketika itu juga, beliau menghidap penyakit buasir yang agak serius. Dalam membicarakan konteks ilmu, nama beliau senantiasa disebut kerana beliau merupakan salah seorang penyebar ilmu yang unggul sehingga menjadi ikutan kepada sebahagian besar umat Islam di seluruh dunia. Beliau juga sangat dihormati oleh para ulama dan imam lainnya. Antaranya adalah Imam Ahmad bin Hanbal atau Imam Ibn Hanbal. Imam Asy-Syafi’I telah kembali ke rahmatullah pada 29 Rejab tahun 204 Hijrah bersamaan dengan tahun 820 Masihi di Mesir, pada usia 54 tahun. Beliau telah meninggalkan dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqah iaitu al-Risala. Kitab ini adalah kitab terulung dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum dari satu dalil yang ada. Selain itu, beliau juga meninggalkan kitab fiqhnya yang masyhur iaitu al-Umm. Ajaran Imam Asy-Syafi’I diteruskan oleh beberapa anak murid beliau yang utama seperti Imam Abu Yakub al-Ruwati (231 Hijrah/846 Masihi), Imam Rabi Bin Sulaiman al-Marali (270 Hijrah/884 Masihi), Imam Abu Ibrahim Bin Yahya al-Muzani (274 Hijrah/888 Masihi) dan juga Imam Ahmad Bin Hanbal (241 Hijrah/856 Masihi).

Imam Ahmad ibn Hambal adalah seorang ilmuan ahli fiqh yang gigih membela kelurusan akidah Islam yang hendak diselewengkan oleh kaum Muktazilah, khususnya mengenai kedudukan Al-Qur’an sebagai kalamullah yang pada akhir hayatnya imam yang dicemarkan citranya. Beliau diperlakukan secara zalim, baik semasa hayatnya mahupun setelah meniggal dunia. Semasa hidupnya, beliau terus-menerus berjuang melawan kemiskinan dan kezaliman di dalamnya. Ibunya dalam keadaan hamil terpaksa berpindah dari Marwa, tempat suaminya (ayah Ahmad) bekerja sebagai prajurit kekhalifahan iaitu ke Baghdad. Pada waktu wanita itu melahirkan anaknya, Ahmad, suaminya meninggal dunia serta meninggalkan warisnya sebidang tanah. Dari hasil cucuk tanam yang tidaklah luas, dia hidup bersama anak kecilnya. Setelah anak kecil itu bertambah besar menjadi remaja, bertambahlah tuntutan untuk menampung kehidupan seharian. Ibunya yang masih muda merupakan wanita yang jelita menyebabkan ramai yang ingin melamarnya. Sungguhpun begitu, dia tidak ingin mengahwini sesiapa dan bertekad membesarkan anak tunggalnya, Ahmad. Dalam usia kanak-kanak, Ahmad ibn Hambal didorong oleh ibunya untuk mempelajari Al-Qur’an kepada seorang guru sehinggalah beliau sudah mengkhatamkan Al-Qur’an pada usia remaja.sejak itulah beliau menumpukan hidupnya mengulang-ulang pembacaan Al-Qur’an. Pada usia menjelang remaja, beliau melihat suatu keanehan yang berlaku pada dunia sekitarannya. Pada masa tersebut, bid’ah menenggelamkan sunnah, orang yang berilmu disusahkan hidupnya oleh orang-orang yang bodoh, banyak manusia yang memilki harta yang melimpah ruah tetapi tidak tahu bagaimana ingin mendermakanny.Beliau melihat kehidupan yang penuh kemunafikan dan dosa. Sejak kecil lagi beliau sudah meghafal Al-Qur’an dan mempelajari serta memikirkan ketentuan hokum yang terdapat di dalamnya. Bahkan, sejak kecil lagi beliau sudah diajar dan mempelajari ilmu hadis. Menyaksikan kenyataan-kenyataan seperti apa yang berlaku dalam dunia dewasanya sekarang, beliau tidak dapat bersikap lain kecuali menyatakan kecaman dan celaan secara terang-terangan. Beliau berjanji kepada dirinya sendiri kan berjuang menentangnya demi mencapai tujuan menegakkan kembali sunnah Rasulullah s.a.w. di dalam kehidupan umat. Kerana sikapnya itulah, banyak orang menuduhnya “mutasammit” (fudamentalis, orang yang keras dalam beragama). Demikianlah hidup Imam Ahmad ibn Hanbal. Menyorot kembali sejarahnya, beliau dilahirkan di Baghdad pada tahun 164 Hijrah. Ayah dan ibunya merupakan orang Arab. Sejak kecil, beliau telah menyedari betapa besarnya cabaran yang dihadapi oleh ibunya bagi menampung kehidupan mereka berdua. Beliau mengerti, demi kepentingannya, ibunya menolak segala lamaran yang ingin menikahi ibunya. Oleh itu, beliau ingin sekali membalas jasa ibunya dan mendorongnya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menguasai pelbagai cabang ilmu. Justeru, pada usia remajanya, beliau berjaya bersandar kepada kemampuan diri-sendiri. Kesulitan hidupnya tidak hanya membuatkan beliau menjadi orang yang tabah malahan menambahkan ilmunya berfikir sehingga dapat merumuskan kaedah-kaedah utama hukum fiqh, juga mampu berijtihad dan beristinbath untuk merumuskan ketentuan hokum dam fatwa-fatwa mengenai pelbagai masalah yang belum pernah terjadi di masa lalu. Kemampuan yang dimilikinya berkat kepahitan hidupnya sejak kecil, sehingga dapat mengrti dan memahami selok-belok kehidupan masyarakat, usaha yang dilakukan orang untuk menampung kehidupan, dan dapat merasakan sendiri betapapahitnya kemiskinan. Selain itu, beliau dapat mengenal berbagai risiko yang dihadapi oleh kaum pedagang di pasar-pasar. Semua itu dapt membuatkannya mengenal dengan baik kehidupan masyarakat dan mengenal bagaiman sesungguhnya keduniaan itu. Beliau dapat menghargai apakah tuntutan dan keperluan yang mendesak. Semua itu ikut membentuk pemikirannya mengenai ilmu fiqh dan mewarnai pendapatnya. Kemudian, beliau merantau menuntut ilmu. Dalam perjalanan merantau ke kota, daerah dan negeri, beliau mengalami kesukaran dan penderitaan. Sebahagian besar perjalanannya ditempuh dengan berjalan kaki apabila kehabisan wang untuk membayar sewa haiwan yang digunakan untuk mengangkut barang seperti unta dan keldai. Adakalanya beliau bekerja mengangkut barang, juga membuat naskah bagi membiayai keperluan hidupnya. Namun, semua itulah yang membuatkan pemikirannya bertambah subur. Dalam usia remaja, 15 tahun, beliau mula bergiat menuntut ilmu hadis. Selama 7 tahun, beliau mempelaji ilmu-ilmu hadis daripada gurunya di Baghdad. Untuk lebuh memperkayakan ilmu pengetahuannya tentang hadis, beliau berangkat ke Bashrah untuk berguru dengan seorang ahli ulama. Setelah setahun berlalu, beliau pergi ke Hijaz. Di sana, beliau bertemu dengan Imam Asy-Syafi’I yang ketika itu mengajar di Masjid al-Haram. Kemudian beliau pulang semula ke Baghdad dan setelah beberapa lama, beliau kembali ke Hijaz. Di sana beliau mendengar sejumlah hadis dari Imam Malik, Imam Al-Latys ib Sa’ad (Mesir) dan lain-lain. Dari Hijaz, beliau berangkat ke Yaman dan berguru dengan ‘Abdurrazaq inb Himam. Beliau mula mempelajari ilmu hadis daripada Abu Yusuf, sahabat Imam Abu Hanifah. Beliau kemudian berguru dengan ‘Abdullah ibn al-Mubarak yang merupakan serang ahli fiqh yang berpengetahuan luas dan seorang yang kaya. Beliau mengagumi Abdullah ibn al-Mubarak kerana peribadinya, ilmu fiqhnya dan perilakunya sesame manusia. Beberapa lama di sana, beliau berangkat ke Thurthus dan menyertai peperangan berjuang membela kebenaran Allah adalah kewajiban agama yang harus dilakukan setiap Muslim yang berjuang dengan siap mengorbankan jiwa atau raga, atau keduanya bila perlu. Beliau gigih berusaha mencari ilmu pengetahuan di mana-mana dengan berjalan kaki walaupun tidak mempunyai wang. Berkat kegigihannya, beliau Berjaya mengumpulkan beribu-ribu hadis. Dalam pejalannya ke mana pun, setiap musim haji, beliau dating ke Hijaz untuk menimba ilmu, di Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi. Akan tetapi, tidak ada seorang pun yang dapat menariknya perhatiannya seperti ketertarikkannya terhadap Imam Asy-Syafi’I. Antara mereka benar-benar terjalin hubungan persahabatan dan persaudaraan yang erat sejak kali pertama bertemu di Masjid al-Haram. Ketika itu, beliau berusia dalam anggaran 22 tahun manakala Imam Asy-Syafi’I 16 tahun lebih tua daripadanya. Oleh itu, beliau tidak hanya memandang Imam Asy-Syafi’I sebagai guru malahan juga sebagai ayah. Beliau juga sangat patuh kepada ibunya. Ibunya banyak berkorban demi menyaranya. Oleh itu, setelah beliau dwasa, beliau tidak mahu berkahwin dengan sesiapa agar dapat member sepenuh kasih sayang terhadap ibunya. Setelah berusia lebih 30 tahun, iaitu setelah ibunya meninggal dunia, barulah beliau hidup berkeluarga. Sekarang beliau telah menjadi pemuda yang berusia lebih 30 tahun. Beliau sudah berkumis dan berjanggut, bermuka kuning kemerah-merahan, memperlihatkan penampilannya yang lemah lembut dan tenang. Fizikalnya yang kurus tingginya sedang-sedang sahaja. Hati dan perasaannya peka terhadap persekitaran, banyak memikirkan keadaan masyarakat, perhatiannya tercurah untuk mengatasi kelemahannya, tidak mengingkari kenyataan dalam mempertimbangkan sesuatu dan dalam memikirkan kehidupan masyarakat yang sedang berlansung. Imam Ahmad berhadapan dengan kehodupan yang sangat getir dalam hidupnya iaitu ketika beliau dipenjara. Ini berikutan suatu isi di mana terdapay pihak yang mengatakan bahawa Al-Qur’an adalah makhluk. Tindakan sewenang-wenang Khalifah al-Mu’tashim (Dinasti bani ‘Abbas) yang memerintahkan penyiksaan Imam Ahmad di dalam penjara membangkitkan gerkan yang membangkang dikalangan kaum Muslim. Seorang ulama lalu mengiring mereka menuju istana al-Mu’tashim, dan di depan pintu gerbang, tidak henti-neti mereka menuntut pembebasan Imam Ahmad. Suasana ibu kota Irak, Baghdad, semakin hari semakin sukar sehingga hampir-hampir meletusnya pemberontakan. Al-Mu’tashim di maki-maki dan dikutuk oleh mereka yang muncul bersilih ganti. Sedangkan ketika itu, al-Mu’tashim sedang mempersiapkan angkata perangnya untuk menghadapi tentera Romawi yang brsiap sedia menyerang wilayah Islam. Dalam suasana tersepit, al-Mu’tashim terpaksa memenuhi tuntutan kaum yang melakukan demontrasi, membebaskan Imam Ahmad dari penjara.d dalam keadaan badan yang sangat lemah dan menderita sakit, beliau tetap tinggal di rumah, setelah 2 tahun meringkuk di dalam penjara. Setelah pulih, beliau kembali mengajar. Baghdad menyambut kemunculannya seperti menyambut pasukan dari medan perang dengan membawa kemenangan. Dalam usia 70 tahun, Imam Ahmad terus mengajar dengan sisa-sisa kesihatan yang ada sehinggalah beliau meninggal. Beliau berwasiat kepada murid-murid dan sahabatnya supaya mengajak manusia ke jalan Allah dengan cara yang bijak dan mengingati mereka dengan cara yang baik. Namun, di kemudian hari, ada diantara mereka yang bersikap kaku dan keras hingga mengejutkan. Sikap demikian berlanjutan sehingga Imam Ahmad menjadi sasaran mengenai sesuatu yang beliau tidak pernah lakukan. Bagaimanapun soalnya, beliau hidup dalam suasana bid’ah yang berleluasa. Oleh itu, beliau berpegang dengan kuat Kitabullah dan sunnah Rasul, baik dalam soal akidah mahupun ibadah.

Itulah riwayat hidup keempat-empat imam yang mengasaskan empat mazhab yang besar dalam sejarah perkembangan Islam.

RUJUKAN :

  • Abdurrahman Asy-Syarkawi terjemahan H.M.H. Al-Hamid Al-Husaini, 2000, Riwayat Sembilan Imam Fiqih, PUSTAKA HiIDAYAH
  • Syed Mahadzir Syed Ibrahim, 1961, 163 Tokoh Terkenal Islam (Siri Cendiakawan Islam), PEKAN ILMU PUBLICATIONS SHD. BHD.
  • Muhammad Abu Zahra, 2001, THE FOUR IMAMS, Dar Al Taqwa Ltd.

No comments:

Post a Comment

YA ALLAH..jadikanlah aku golongan syabab li inqaz al ummah..!! ameen.. (pemuda yang berperanan untuk mengangkat darjat ummah)